Wednesday, July 30, 2008

Boleh Sertai Parti Politik Tapi Masih Tertakluk AUKU

JOHOR BAHRU 29 Julai - Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang berusia 21 tahun ke atas boleh menjadi ahli mana-mana parti politik, namun penglibatan mereka masih tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, semua rakyat yang berusia 21 tahun ke atas bebas untuk menjadi ahli dalam mana-mana parti politik.

"Mereka bebas menjadi ahli mana-mana parti politik, tetapi penglibatan mereka masih tertakluk kepada AUKU 1971.
"Adalah menjadi masalah sekiranya mereka (penuntut) ini menubuhkan cawangan atau bahagian parti berkenaan (di kampus) serta menjawat jawatan dalam parti," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan ke-47, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pindaan AUKU yang memberi lebih kebebasan kepada penuntut dan kuasa autonomi kepada universiti selepas dibentang di Dewan Rakyat minggu lalu.

Seksyen 15 AUKU melarang pelajar menyertai persatuan, pertubuhan dan sebagainya kecuali diperuntukkan dalam Perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor universiti terbabit. Selepas pindaan diluluskan, kesalahan di bawah akta itu bukan lagi perbuatan jenayah, malah penuntut juga diberi kelonggaran menganjurkan debat melibatkan pihak luar universiti.
Ka Siong berkata, sekiranya golongan ini dikongkong, mereka tetap akan memberontak dan memilih keputusan yang dibuat sebelum ini. Jelasnya, sekatan yang dimaksudkan di dalam pindaan itu bukan tertakluk kepada keanggotaan menjadi ahli sesebuah parti.

Mengulas penglibatan seorang guru yang ditahan ketika menyertai pertandingan ratu cantik 'mak nyah' di sebuah resort terkenal di pantai peranginan Tok Bali, Bachok, Kelantan pada 25 Julai lalu, Ka Siong berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap guru itu sekiranya dia dibuktikan bersalah menyertai kegiatan tersebut.
"Ia jelas melanggar etika kerja dan merupakan satu kegiatan yang tidak sihat," katanya.
Sementara itu, Ka Siong dalam ucapannya berkata, para pengetua memainkan peranan penting dalam menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah.

Menurutnya, jika pengetua gagal memainkan peranan sebagai pemimpin dan pengurus yang baik, maka sudah pasti segala yang dirancang akan menemui kegagalan.
"Pengetua selaku teras kepimpinan di sekolah hendaklah berupaya menggerakkan warga sekolah menjana segala sumber dengan baik daripada segi kewangan atau tenaga manusia yang ada bagi mencapai kecemerlangan," katanya.

Sumber Maklumat : Utusan Malaysia (30 Julai 2008)
****************************************************************************
Suatu perkembangan yang positif di mana pelajar-pelajar universiti boleh menyertai mana-mana parti politik namun masih tertakluk kepada AUKU 1971, jangan sesekali melampaui batas yang diberikan.
Antara kebaikannya, sifat kepimpinan dan daya fikir mereka akan lebih terserlah kerana bebas bergaul dengan golongan yang aktif berkecimpung dalam politik.

Tambang Bas Mungkin Naik

PUTRAJAYA 29 Julai – Kerajaan tidak akan melayan tuntutan menaikkan tambang bas ekspres dan berhenti-henti sehingga 100 peratus tetapi sedia menimbangkan kadar kenaikan yang tidak membebankan para pengguna.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, pihaknya akan berunding dengan para pengusaha bas bagi menentukan kadar kenaikan yang sewajarnya menjelang Hari Raya Aidilfitri, bermula pertengahan September ini.

‘‘Kalau naik sampai 100 peratus, sudah pasti kita tidak akan luluskan. Namun berdasarkan kajian kementerian, kenaikan tambang bas adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan dan ini sungguh berat bagi kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2007 kementerian tersebut di sini, hari ini.

Beliau mengulas memorandum Persatuan Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) mengenai kenaikan harga tambang yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Menangani Inflasi di sini, semalam.

Kali terakhir tambang bas dinaikkan ialah pada 2005 tetapi kadar tersebut berjaya dikekalkan sehingga hari ini meskipun berlaku beberapa kali kenaikan harga minyak dengan yang tertinggi berkuat kuasa 5 Jun lalu.

Menurut Noh, kerajaan bagaimanapun akan mendahulukan kepentingan rakyat dalam sebarang keputusan mengenai tambang.
‘‘Salah satu sebab kita akan melihat secara serius permohonan pengusaha bas ialah kos pengurusan yang tinggi menyebabkan mereka tidak berani menjual tiket bagi musim perayaan kerana bimbang tidak mampu menyediakan bas mencukupi,” katanya.
Mengenai syor pengusaha bas sekolah dibenarkan mengambil penumpang awam selepas menghantar murid-murid ke sekolah atau ketika musim cuti sekolah, Noh berkata, cadangan itu akan dikaji.
“Ini melibatkan kawasan luar bandar dan kawasan tidak strategik yang kalau syarikat bas hendak beroperasi memang tidak akan menguntungkan,” katanya. Beliau menambah, pihaknya sebenarnya telah membenarkan mereka yang ingin menjalankan operasi bas mini desa termasuk van di kawasan kampung atau taman perumahan.

Sumber Maklumat : Utusan Malaysia (30 Julai 2008)
*****************************************************************************
Semoga kenaikan tambang bas ekspres dan bas henti-henti ini tidak terlalu membebankan rakyat yang masih lagi terasa kesan krisis ekonomi akibat kenaikan harga minyak global.
Saya yakin Kerajaan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya daripada pelbagai sudut agar keputusan yang dibuat adil untuk semua pihak.

Tuesday, July 29, 2008

Nik Aziz minta Karpal hormati pendirian Pas dalam isu muqabalah

GUA MUSANG 29 Julai – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya menghormati hasrat Pas untuk mengadakan muqabalah dengan UMNO.

“Karpal macam saya juga, usianya telah tua, dan kita hormati dia, maka dia pula perlu menghormati kita,” katanya kepada pemberita di sini semalam ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP itu yang mahu supaya kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat dikaji semula kerana menganggap perbincangan Pas dengan UMNO boleh menggugat perpaduan dalam pakatan itu yang turut melibatkan Parti Keadilan Rakyat.

Nik Aziz berkata, Karpal sepatutnya memahami mengenai muqabalah yang merupakan perbincangan bersemuka antara Pas dan UMNO kerana pengalaman politiknya yang lama dan untuk menjaga kepentingan bersama antara Pakatan Rakyat.

Beliau juga berkata, isu muqabalah antara Pas dan UMNO itu tidak akan diperjelaskan kepada Karpal kerana perkara itu pernah dibincangkan dengan pemimpin DAP itu sebelum ini.
“Saya tak nak komen, lagi pun dalam dua, tiga minggu dulu saya dah tutup fail menyentuh perkara itu yang membabitkan saya dengan Karpal,” katanya. – Bernama
*****************************************************************
Muqabalah di antara UMNO dan PAS merupakan satu pertemuan yang sangat baik dalam membincangkan mengenai perpaduan orang Melayu dan umat Islam khasnya.
DAP tidak perlu gusar dan takut dengan perkembangan positif ini kerana sejak dahulu lagi kita tidak membenarkan sesiapa sahaja mempertikaikan mengenai ketuanan Melayu. Isu PAS dalam Pakatan Rakyat wajarlah mereka duduk berbincang dalam mencari kata sepakat.

Friday, July 25, 2008

Anwar Ibrahim & Amerika Syarikat

Saya rasa terpanggil untuk mengulas sedikit tentang laporan dalam Buletin Utama TV3 malam tadi. Dilaporkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat begitu 'mengambil berat' hal ehwal rakan baiknya, Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) lebih-lebih lagi berhubung kes liwat beliau yang terbaru ini. Kononnya meminta agar Malaysia tidak tersalah mengadili kes Anwar. Jelas kelihatan DSAI dan kerajaan Amerika Syarikat sudah sekian lama menjalin hubungan yang sangat akrab. Walaupun kita tidak tahu apakah bentuk kesepakatan yang terjalin di antara mereka, namun harap-harap tidaklah sampai memusnahkan nasib bangsa sendiri dan negara berdaulat ini.
Seharusnya juga Amerika Syarikat tidak campur tangan atau lebih sudu dari kuah dalam memberi pandangan berhubung isu-isu dalaman negara Malaysia khasnya dan negara-negara lain juga. Setiap negara punya cara atau pendekatan tersendiri dalam menangani masalah atau konflik dalaman negara masing-masing. Usahlah hendak tunjuk taring kerana memiliki kuasa yang hebat...

Thursday, July 17, 2008

Anwar enggan beri sampel DNA

Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan Hospital Kuala Lumpur mengambil sampel DNA beliau kerana khuatir ia akan dimanipulasi oleh pihak berkuasa. Kononnya bimbang DNA beliau akan dimanipulasi kerana pasukan penyiasat dalam kes liwat membabitkannya pada 1998 juga terlibat dalam siasatan tuduhan liwat pada kali ini bersama bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Keengganan beliau untuk memberikan sampel DNA secara sukarela ini dilihat akan lebih menampakkan bahawa beliau takut dan risau jika rahsianya akan terbongkar. Biasa kita dengar bahawa orang yang bersalah sahaja akan berasa takut jika hendak disoal selidik. Sepatutnya DSAI memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis dan hospital berhubung perkara ini bagi membersihkan namanya dan jangan sesekali meragui ketelusan serta kepakaran badan undang-undang ini.
Diharap pihak berkuasa akan melaksanakan tanggungjawab siasatan dengan seadil-adilnya agar kebenaran dapat dibuktikan dan semua pihak akan berpuas hati.

Syabas Dato' Shabery...

Syabas dan tahniah kepada Dato' Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia kerana berani menyahut cabaran penganjur iaitu Agendadaily dan Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) untuk tampil berdebat satu lawan satu di kaca televisyen mengenai isu kenaikan harga minyak.
Pada 15 Julai 2008, jam 9 malam menerusi siaran langsung di TV9 Dato' Shabery dan DSAI bersemuka dalam program DEBAT yang bertajuk "Hari Ini Memerintah, Esok Turun Harga Minyak". Walaupun DSAI hanya ingin berdebat dengan YAB PM atau YAB TPM, namun Dato' Shabery ibarat panglima dalam kabinet Pak Lah tetap mahu tampil ke hadapan menggalas tanggungjawab besar ini.
Tahniah kerana beliau memang seorang yang berjiwa kental dan sanggup menyahut cabaran. Sementelahan inilah program yang julung kali diadakan di mana pemimpin Kerajaan dan pemimpin pembangkang diberi peluang untuk berdebat secara langsung di hadapan rakyat.




Tuesday, July 8, 2008

Felda Ke Mercu Jaya

Sekalung tahniah dan penghargaan ditujukan kepada Kerajaan khususnya YAB TPM Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan pihak pengurusan Felda atas usaha keras menjadikan Felda semakin maju dan gah di persada dunia. Berita di dada akhbar hari ini melaporkan bahawa pembangunan Felda kini semakin bergerak pantas dengan nilai eksport yang mencecah lebih RM50 bilion.
Felda telah mengorak langkah meluaskan sayapnya sehingga ke luar negara dan sudah memiliki kilang dan perniagaan di Boston, Amerika Syarikat; Quebec, Kanada dan Mekah. Felda juga turut hebat dalam menambahkan pelaburannya melalui pembukaan ladang sehingga di Kalimantan, Acheh, Papua New Guinea dan Brazil.
Warga Felda pula semestinya perlu berterima kasih kepada Kerajaan dan mensyukuri kejayaan yang dinikmati para peneroka sepanjang tempoh 52 tahun usia Felda dalam melaksanakan perubahan serta meningkatkan taraf hidup mereka.

Monday, July 7, 2008

Protes Pakatan Rakyat Tidak Menjadi

Niat Pakatan Rakyat (PR) untuk menarik penyertaan orang ramai menghadiri perhimpunan "Protes Sejuta Rakyat" di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya secara besar-besaran semalam tidak membuahkan hasil sebaliknya hanya memalukan mereka sahaja. Apa tidaknya sebelum ini mereka beria-ia menguar-uarkan mengenai program berkenaan dengan mencetuskan pelbagai publisiti dan kontroversi namun tidak mendapat sambutan ramai.
Matlamat mereka untuk menjadikannya sebagai perhimpunan terbesar rakyat untuk menyuarakan bantahan terhadap Kerajaan tidak kesampaian kerana bilangan yang hadir hanyalah kira-kira 5,000 orang sahaja pada sebelah siang.
Perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) yang didalangi oleh PR ini turut mendapat tamparan hebat apabila 700 anggota Unit Amal PAS yang ditugaskan untuk mengawal majlis berkenaan turut menarik diri kerana tidak bersetuju dengan tindakan penganjur menyelitkan unsur hiburan lucah.
Aksi kumpulan kugiran yang menyampaikan lagu berirama Punk sambil menunjukkan isyarat lucah dengan melondehkan seluar turut membangkitkan kemarahan orang ramai sehingga ada yang membaling botol.
Perhimpunan berkenaan dilihat bukanlah ingin memberi cadangan atau buah fikiran kepada Kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga minyak global tetapi sebenarnya ia hanya bertujuan untuk menghentam dan meletakkan kesalahan terhadap pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional. Kononnya Barisan Nasional punca kepada kemelut kenaikan harga minyak di Malaysia.
Jelaslah di sini bahawa Pakatan Rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersekongkol dengan parti tersebut masih buta hati dengan isu-isu yang melanda dunia tetapi hanya bijak mengkritik tanpa lontaran idea-idea yang bernas untuk memulihkan keadaan bak kata orang, cakap tidak serupa bikin.

Wednesday, July 2, 2008

Tipu Daya atau Helah Anwar Ibrahim?

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bikin gempar satu Malaysia lagi. Isu pertama, laporan kes liwat beliau terhadap pembantunya. Isu kedua, bersembunyi di Kedutaan Turki kononnya menerima ugutan bunuh.
Berhubung isu pertama, diharap pihak berkuasa dapat menyiasat dengan setelusnya apakah benar dakwaan tersebut. Kes ini merupakan kes yang sama beliau hadapi pada suatu ketika dulu di mana beliau telah didakwa di mahkamah. Kes itu juga mendapat liputan meluas media dalam dan luar negara. DSAI menjelaskan bahawa laporan kes liwat yang dibuat oleh pembantunya ini adalah kerana perbuatan jahat pihak-pihak tertentu yang ingin meruntuhkan karier politik dan nama beliau sementelah lagi beliau sudah mula mahu bertanding dalam pilihan raya. Beliau bermati-matian menyatakan bahawa beliau tidak melakukan perbuatan terkutuk tersebut sambil disokong oleh isterinya dan akan menggunakan khidmat guaman yang begitu pakar bagi membuktikan dakwaan tersebut hanyalah berunsur fitnah serta ingin mencemar imejnya.
Mengenai isu kedua pula, umum mempertikaikan apakah niat sebenar beliau bersembunyi di Kedutaan Turki itu? Kononnya beliau mendapat ancaman bunuh dan ingin mendapatkan perlindungan suaka politik. Siapakah yang ingin membunuh beliau? Adakah beliau membuat laporan polis mengenai ancaman bunuh tersebut? Mengapa beliau pergi bersembunyi di situ dan bukan di kedutaan luar yang lain? Adakah beliau mempunyai hubungan yang sangat erat dengan pemimpin Turki? Semua ini menimbulkan banyak persoalan dan tanda tanya.
Keliru jua saya apabila memikirkan perangai DSAI ini. Adakah beliau hanya ingin membuat gimik bagi meraih perhatian dan simpati masyarakat. Menteri Dalam Negeri pun sudah memberi kenyataan bahawa keselamatan beliau adalah terjamin dan tidak akan berlaku apa-apa ke atas beliau. Apalah yang berada dalam pemikirannya? Semoga semua persoalan ini akan terjawab.

Pembayaran Gaji Kakitangan Awam Kekal Sebulan Sekali

Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak melaksanakan cadangan pembayaran gaji kakitangan awam sebanyak dua kali sebulan mulai Ogos depan seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Keputusan tersebut diputuskan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dengan itu pembayaran gaji kakitangan awam akan dibuat seperti amalan biasa iaitu sebulan sekali.
Pengumuman ini pasti menggembirakan penjawat awam yang rata-ratanya dari awal lagi tidak bersetuju dengan cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan kerana dilihat lebih menyukarkan mereka untuk merancang perbelanjaan lebih-lebih lagi daripada kalangan yang bergaji rendah.
Sikap Kerajaan yang begitu mengambil kira pandangan dan masalah rakyat ini wajar disanjung tinggi. Kerajaan sangat komited dalam menangani masalah rakyat dan setiap perkara yang dibuat adalah untuk memudahkan atau menyenangkan semua pihak dan bukannya untuk menyusahkan.

MP Machang Ketandusan Idea

Oleh: Pemikir Negara
MP Machang (PKR) menyebut beberapa perkara dalam sesi perbahasan iaitu kempen berjimat cermat, sodomi dan program Kementerian Penerangan berkaitan dengan membawa orang-orang ke Kuala Lumpur. Beliau menyebut secara sepintas lalu dan menganggap program sedemikian menelan belanja yang banyak. Beliau seterusnya mempertikaikan program tersebut sebagai membazir dan sepatutnya Kerajaan perlu mengawal perbelanjaan.
Pokoknya beliau menekankan betapa perlunya penjimatan itu. Namun beliau melontarkan pandangannya secara sinis.
MP Machang ini seolah-olah ketandusan idea dengan menimbulkan perkara-perkara yang sudah dibahaskan dulu.

Anwar Suka Berdolak-dalik

Anwar Ibrahim (DSAI) sentiasa mencari peluang dan ruang untuk mempopularkan dirinya dan meraih simpati daripada masyarakat Malaysia. Isu terbaru, kes liwat beliau bersama dengan pembantunya disifatkan sebagai fitnah daripada pihak yang tidak senang dengan kebangkitan beliau dalam dunia politik tanah air.
Begitu juga dengan sikap beliau yang gemar berdolak-dalik apabila membuat sesuatu pengumuman. Kononnya ada 4 orang Ahli Parlimen BN akan melompat parti ke PKR, namun sehingga sekarang tidak mengumumkan nama-nama tersebut walaupun diasak bertubi-tubi. Jawapan yang klise, akan dimaklumkan kelak kerana keadaan sekarang tidak sesuai dan beliau lebih menumpukan perhatian kepada situasi ekonomi negara, isu-isu semasa dan kes tuduhan liwatnya.
Juga kenyataan bahawa beliau tiada cita-cita politik yang tinggi selain ingin mempertahankan diri adalah karut semata-mata kerana sudah terang lagi bersuluh, beliau dan pakatannya (isteri dan anak) bercita-cita besar ingin menerajui pentadbiran negara serta mungkin ada pelbagai lagi agenda besar yang tersembunyi.

Pembangkang Buat-buat Tidak Faham

Dasar penstrukturan semula subsidi harga minyak menjadi topik hangat pihak pembangkang semasa sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK-9. Nampaknya mereka masih belum faham sebab-musabab Kerajaan mempersetujui dasar tersebut. Kononnya pengurangan subsidi minyak sebanyak RM13 bilion itu bukanlah menjimatkan tetapi hanya membuka pintu inflasi secara seluas-luasnya terhadap ekonomi negara.
Ini bermakna pembangkang tetap beranggapan bahawa Kerajaan tidak cekap dalam mengurus selia ekonomi negara dan bersalah kerana menaikkan harga minyak. Entah apa lagi mekanisme atau pendekatan yang perlu Kerajaan guna pakai atau jelaskan kepada mereka agar mereka benar-benar faham rasional dasar penstrukturan subsidi minyak ini.
Walhal Kerajaan sudah menjelaskan berkali-kali bahawasanya penjimatan daripada pengurangan subsidi minyak itu akan digunakan untuk meningkatkan sektor pengangkutan awam dan pengeluaran bahan-bahan makanan negara.
Rasa-rasanya pembangkang sengaja buat-buat tidak faham kerana sudah menjadi resam mereka untuk menghentam setiap dasar yang Kerajaan laksanakan.

YB Datuk Razali, MP Kuala Terengganu Prihatin dan Ikhlas

Tahniah diucapkan kepada Kementerian Pelajaran kerana telah merangka pelbagai dasar dan program bagi memperkasakan kualiti sistem pendidikan di kawasan luar bandar sekaligus merapatkan jurang prestasi di antara sekolah-sekolah bandar dan luar bandar.
Menjawab soalan MP Balik Pulau (PKR), Timbalan Menteri Pelajaran (MP Kuala Terengganu) menjelaskan bahawa kementerian telah menjalankan kajian menyeluruh tentang masalah kebajikan, kewangan dan disiplin para pelajar khususnya di luar bandar. Tegasnya lagi, kementerian sentiasa memberi fokus khusus kepada hal-ehwal kebajikan pelajar-pelajar di kawasan berkenaan.
Antaranya ialah membangunkan infrastruktur dan infostruktur di sekolah-sekolah luar bandar, mengadakan program pemulihan, gerak tumpu dalam bidang vokasional, skim tuisyen Felda dan pelbagai bantuan lagi. Kementerian juga akan mewajibkan penempatan guru-guru baru di luar bandar. Sistem 'perfect score' yang menjadi amalan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) juga akan diaplikasikan di sekolah-sekolah luar bandar bagi mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan di kawasan pedalaman.
Di samping itu kebajikan para guru yang bertugas di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak juga tidak sesekali diabaikan di mana mereka diberi elaun khas, perlindungan insurans dan tiket pulang ke kampung secara percuma setahun sekali.